KUALA LUMPUR, 6 September 2026 – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menerusi Fakulti Perniagaan dan Perakaunan (FABA) telah menganjurkan First Youth E-Commerce Business Innovation Programme di Town Park & Sunken Garden, MyTOWNKL Shopping Centre. Program berimpak tinggi menerusi pelaksanaan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) ini menggabungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman praktikal dalam inovasi perniagaan, keusahawanan digital dan penglibatan komuniti.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) merangkap Pro-Canselor UPTM. Program ini mencatatkan penyertaan seramai 2,232 peserta melibatkan 590 projek dalam tiga kategori utama iaitu Perniagaan, Sosial dan Teknologi.
Menerusi program ini, UPTM mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi gelaran “Largest Virtual Participation in an e-Commerce Innovation Platform”, di samping memperkukuh jaringan bersama komuniti melalui penglibatan daripada BAKAT dan masyarakat umum.